<$BlogRSDUrl$>

Monday, June 16, 2003

ISMAIL LUTFI
Karya: arisel ba


( Kaba urang kami kabakan, duto urang kami tak sato1 )

Pada suatu malam, iaitu tanggal 31 Disember 1998, Kuantan dan sekitarnya
mula ditimpa ribut kencang dan hujan lebat. Kilat halilintar sabung
menyabung memberi tanda banjir besar akan tiba. Tidak berapa lama kemudian,
bekalan elektrik terputus, alam sunyi dan sepi dengan bunyi-bunyian dari
radio dan televisyen. Senyap dari hiruk pikuk suara orang-orang Kuantan.
Hanya hujan lebat menimpa atap rumah.

Saya tidur awal kira-kira jam 11 malam sekembalinya dari masjid selepas
selesai mengerjakan ibadat Terawih 20 rakaat, sempena Ramadan Al-Mubarak.
Tiba-tiba saya terjaga setelah lampu dalam kamar benyala semula apabila
bekalan elektrik dipulihkan. Bunyi-bunyian dari radio dan televisyen di
rumah saya dan rumah jiran-jiran bergema semula.

Saya tertidur lagi. Dan saya pun bermimpi. Dalam mimpi, saya rasa berjalan
kaki teramat jauh. Dengan menggalas beg sandang, saya melangkah mencari
seseorang. Semasa berjalan itu, tidak seorang pun yang mahu menyapa saya.
Saya rasa heran dan resah.

Saya mahu menjadi orang yang paling penting di dalam dunia ini. Kebanyakan
orang belum menemui fakta mengenai diri mereka. Manusia pada umumnya
menghabiskan hari-hari mereka tanpa mengetahui diri mereka yang sebenarnya.
Saya menyoal, kenapa? Kenapa? Kenapa? Kenapa?…

Manusia adalah ciptaan dari Allah, pencipta yang Maha Bijaksana, yang
membawa dirinya ke dunia untuk menjalani kehidupan yang berjaya. Saya amat
memahaminya. Apakah saya diciptakan untuk kejayaan?. Apakah saya
dilengkapi dengan kemungkinan-kemungkinan - yang tidak terdapat pada makhluk
yang lain?. Adakah saya akan tergolong bersama orang-orang yang
mensia-siakan pemberian Allah jika gagal menggunakan kemudahan pada diri
ini serta tenaga yang menjadi keberkatan sejak saya dilahirkan. Kejayaan
adalah hak asasi milik saya. Hanya sedikit orang yang mewujudkan hak asasi
ini dalam kehidupan mereka.2

Cendekiawan dan ahli psikologi mengungkapkan bahawa rata-rata orang hanya
menggunakan sebahagian kecil potensi akalnya. Secara umum dapat dikatakan
bahawa potensi yang digunakan hanya sekitar 3% hingga 10%. 3

Saya rnengetahui semua perkara yang harus diketahui tentang hobi, sukan dan
lain-lain tentang diri masing-masing. Sayangnya saya gagal berbuat seperti
apa yang dilakukan oleh Columbus terhadap diri sendiri dengan menemukan
dirinya yang sebenar.

Semua lelaki dan wanita terkemuka di dunia, sejak lahirnya peradaban,
pertama sekali menemui diri mereka sendiri sebelum akhirnya melakukan
perkara yang hebat dalam bidang mereka masing-masing, sebagaimana yang
dikenalinya. 4

Saya terus berdoa agar dapat menemukan diri saya yang hebat, diri saya yang
sebenar. Menemui jatidiri. Diri yang diberi nama Ismail Lutfi. Ismail
adalah nama Nabi. Lutfi adalah bahasa Arab dan bermakna: Lemah lembutku;
kesopananku, sebagaimana kata arwah ayah kepada ibu saya ketika saya berusia
seminggu. Apabila saya telah berhadapan dengan permulaan penemuan ini, saya
kelihatan tidak lagi berpuas hati dengan hanya menumpang pada lautan
kehidupan yang penuh badai ini, sebaliknya, saya akan berjalan kaki terus
mencari dan mencari kejayaan, kebahagiaan dan kedamaian batin.

Dalam melayani halusinasi mimpi, tiba-tiba saya teringatkan Salman Rushdie
dengan dongengnya, ‘Haroun and the Sea of Stories’, mengatakan bahawa
Khattam-Shud itu adalah Paduka Kebisuan yang mengerikan lalu berkata: “
Cerita hanya membuat kacau. Sebuah Lautan Cerita adalah sebuah Lautan
Kekacauan”. 5

Saya menulis sesuatu di atas sehelai kertas: bahawa walaupun manusia tidak
jemu-jemu mencari kejayaan, kebahagiaan dan kedamaian batin, namun pencarian
itu harus bermula dari sebuah Lautan Kekacauan. Kerana, saya berfikir,
Lautan Kekacauan itu adalah bermulanya setiap sesuatu yang diberi nama
cerita.

Benarkah kata Salman Rusdie?, bahawa cerita hanya membuat khalayak yang
membaca, mendengar atau melihat cerita akan menjadi kacau. Kacau itu kacau?.
Kacau itu kalut?. Kacau itu bercelaru?. Kacau itu honar?. Kacau itu
berantakan?. Kacau itu herot-berot?.

Saya terus berjalan kaki mahu menegakkan kebenaran cerita. Dalam fikiran
ini, bagi menentang dongengan Salman Rusdie itu, saya harus memasuki arena
penulisan. Saya mahu membenteras kepalsuan. Tekad saya mahu menghapuskan
kekacauan dari kehidupan manusia dalam jagat raya ini. Saya mahu menjadikan
penulisan sebagai hobi baru menjelang fajar tahun 1999.

Arwah ayah saya yang memahat nama Ismail Lutfi bercita-cita besar supaya
anaknya menjadi seorang yang lemah lembut, bersopan dan terpandang,
terkenal dan selalu diberi pujian dalam hobi yang digemari apabila remaja,
belia dan dewasa kelak, begitu cerita ibu kepada saya. Arwah ayah mahu saya
menjadi pemikir bangsanya. Arwah ayah selalu berpesan, “ warisan kita pernah
terjajah lebih 400 tahun baik akal fikiran, fizikal negara serta meragut
kebebasan menegakkan Daulat Islami. Kau harus menebusnya bersama-sama
sahabat seagama sebangsa!.”

Saya terus melangkah mencari seseorang. Tiba-tiba di satu sudut ruang ibadah
di Masjid Negara, Kuala Lumpur, saya terlihat A.Samad Said dengan wajah
pendeta. Saya memang mengagumi Pak Samad, Novelnya ‘Salina’ 6, ‘Langit
Petang’ 7, ‘Daerah Zeni’ 8, ‘Hujan Pagi’ 9, ‘Cinta Fansuri’ 10 dan ‘Bulan
Tak Bermadu Di Fathehpur Sikri’ 11. Saya segera mendekati Pak Samad, dan
terus memberi salam. Salam saya disambut dengan penuh sopan.

“ Kamu mahu menjadi sasauan atau sasterawan?, “ tanya Pak Samad membuat saya
gugup dan gementar seperti memahami dari mata firasatnya akan hobi saya yang
baru.

“ Begitulah, Pak. Hajat hati mahu menjadi sasterawan!”, tukas saya sambil
segera duduk bersimpuh dekatnya.

“ O, untuk menjadi seorang sasterawan itu banyak unsurnya, semuanya
bergantung kepada enviroment, bagaimana kita mengalir dengan enviroment,
bagaimana kita menentang enviroment, bagaimana kita menulis tentang
enviroment itu sendiri, “12 jelas Pak Samad.

“ Maksudnya?, “ saya mendesak.

“ Maksudnya, individu itu sendiri yang penting. Sasterawan itu dilahirkan
dari beberapa unsur dalamannya sendiri, yang berantakan dengan beberapa
unsur luaran pula…”,13 ujar Pak Samad selamba.

“ Saya hanya mahu menjadikan penulisan sebagai hobi, tidak lebih dari itu.
Saya tidak ada bakat menulis!, “ kata saya lagi.

“ Sasterawan bakat alam biasanya akan berhenti disuatu peringkat. Tetapi
untuk menjadi sasterawan yang baik seorang itu harus belajar sepanjang
hidupnya. Bila disebut belajar itu, ia tidaklah semestinya sehingga ke
peringkat universiti sahaja. Maka dari dua golongan sasterawan ini saya
berpendapat, sasterawan golongan kedua yang akan lebih berjaya.” 14 Jelas
Pak Samad sambil merenung ke dalam mata saya dengan tajam sekali.

“ Saya masih belum jelas, Pak?…” desak saya, beria benar.

“ Menurut saya seorang sasterawan harus kaya dengan pengelaman, yang kedua
dia harus seorang yang intelek dan ketiga baru dia harus kaya dengan
imaginasi. Kalau hanya dengan imaginasi, tanpa pengalaman, bagaimana seorang
itu akan menulis? Kalau dengan imaginasi saja seorang penulis hanya asyik
berulang-ulang menulis yang itu juga. Asas menulis itu bermula daripada
pengalaman hidup itu sendiri, lalu kita gaulkan dengan imaginasi. Betapa
bijak atau tidaknya, terletak pada daya intelek kita sendiri., “ 15 jelas
Pak Samad.

Tiba-tiba A.Samad Said hilang dari pandangan saya. Entah kemana menghilang.
Puas saya cari dikeliling Masjid Negara, malang, tidak lagi berjumpa.

Saya terus melangkah dengan kaki yang semakin letih mencari seseorang yang
lain. Saya mahu pastikan bahawa hobi baru ini benar-benar menjadi kemahiran
baru untuk memerangi kepalsuan yang ditiupkan oleh Salman Rusdie itu.

Tidak semena-mena saya tiba di Taman Ismail Marzuki, Jakarta. Semua orang
yang saya temui tidak langsung menyapa. Saya pun tidak mahu bertanya kenapa
saya tidak disapa walaupun kadang-kadang dalam berjalan kami berlaga bahu.
Demostran masih meneruskan berdemonstrasi. Kelihatan kepala mereka dililit
kain. Ada berwarna putih. Ada berwarna merah. Ada berwarna hijau. Itu urusan
mereka.

Saya mencari-cari seseorang yang hanya saya kenal namanya saja dari
pembacaan pelbagai cerpen dan novelnya. Saya telah baca ‘Blok’ 16. Saya juga
telah membaca ‘Protes’ 17 dan ‘Perang’ 18. Saya minat membaca ‘Pol’ 19,
‘Cascus’ 20, ‘Teror’ 21, ‘LHO’ 22, ‘Gres’ 23, ‘Sobat’ 24, ‘Telegram’ 25 dan
‘Stasiun’ 26.

Dari jauh, disebuah warung berhampiran pokok asam saya ternampak seseorang
yang memakai topi. Saya segera menghampiri orang itu dan menyapa, “ Bapak
Putu Wijaya!…”

“ Ya, siapa kamu? Kamu berada dalam mimpi aku, atau aku berada dalam mimpi
kamu?, “ soal Putu melihat saya dengan heran.

“ Bapak Putu berada dalam mimpi saya!”, tukas saya ringkas.

“ Apa yang kamu mahu?, “ soal Putu lagi.

“ Sempena tahun baru, tahun 1999, saya ada tekad baru mahu menjadi
sasterawan jempolan seperti bapak!, “ jelas saya.

Dengan angkuhnya Putu Wijaya bercerita panjang mengenai dunia penulisannya.
Dia tidak berselindung bila menceritakan bahawa dia masih belum menemui
Khattam-Shud. Dia bangga kerana berjaya membina khalayak, seperti Jin Air
membawa Haroun dalam dongeng ‘Haroun and The Sea of Stories” karya Salman
Rusdie ke Lautan Cerita, di mana diperlihatkan ‘beribu ribu ribu ribu satu
arus, yang berbeda-beda, masing-masing punya warna yang lain, saling
berjalin keluar dan ke dalam, seperti permaidani cair dalam kemajemukan yang
mempesona.’

“ Hanya Khattam-Shud saja yang melihat itu dengan benci dan mengatakan
bahawa sebuah Lautan Cerita adalah sebuah Lautan Kekacauan. Hanya dia saja
yang mahu menghentikan fiksi seraya bertanya: ‘Apa guna cerita-cerita yang
bahkan benar pun tidak?’ 27,” cerita Putu lagi.

“ Apakah Khattam-Shud itu suara paranoia, yang hidup hanya dengan ‘guna’ dan
‘benar’, 28” saya cuba menghujah.

“ Sehingga sekarang pun aku belum bertemu dengan Khattam-Shud, Paduka
Kebisuan itu!, “ Putu menjelaskan sambil senyum.

“ Jadi, bagaimana jika saya boleh belajar dengan Bapak Putu dalam menulis
cerita!, “ saya cuba memancing kerelaannya.

“ Rasanya kurang lengkap kalau aku tidak menarik beberapa kesimpulan dari
uraian yang telah bertele-tele di atas. Setidak-tidaknya untuk
mencocokkannya kepada tiga pertanyaan besar dari kamu?, 29 “ tegas Putu.

“ Bagaimana?, “ saya meminta.

“ Kalau boleh aku menyimpulkan untuk sementara - sebab mungkin saja besok
atau lusa bisa berubah, kini (sekali lagi: kini) aku mengarang kerana ada
keperluan untuk mengemukakan gagasan, hasil pengamatan, saran dan pendapat
yang sama atau berbeda dengan orang lain. Aku melihat ada gejala yang
memaksa untuk mengatakan bersikap itu memihak. Berbeda pendapat sama dengan
bermusuhan. Suka dengan tidak suka sama dengan buruk dan baik. Aku ingin
melihat lagi alternatif untuk memilih sendiri untuk dirinya berdasarkan
citra masing-masing! 30“ jelas Putu lagi.

“ Wah, hebat, ya! Nasib baik Bapak Putu belum ketemui dengan Khattam-Shud
itu, ya?, “ saya cuba menduga.

“ Ya, aku memilih hal yang kecil-kecil. Yang lucu tapi unik. Yang tak
menyakiti hati orang lain. Yang tidak diutak-atik orang lain. Kadangkala aku
sengaja menampilkan yang liar untuk menteror orang supaya mahu menyangsikan
lagi segala sesuatu. Aku memancing dan meransang, kadangkala menunjukkan
pendapatku secara samar, kemudian mengelak kerana bukan pendapatku yang
penting tapi pendapat orang lain itu. Kerananya, baik dalam karya tulis
mahupun dalam penampilan-penampilan teater, aku mengambil resiko bahawa pada
akhirnya apa yang aku tampilkan tidak lebih penting dari apa yang kemudian
terjadi dalam diri orang itu. Ini rnerupakan disiplinku untuk mengunci
setiap karangan atau pementasan.31 “ jelas Putu lagi.

“ Lagi, Bapak Putu?… “, saya terus menagih celotehnya.

“ Ya, selama ini karangan atau pementasanku tidak pernah betul-betul
selesai. Selalu memberikan problem baru yang kemudian aku garap dalam
karangan atau pementasan selanjutnya. Semuanya bersambungan. Kadang-kadang
aku berfikir bahawa mungkin sebenarnya aku hanya menulis sebuah novel,
sebuah cerita pendek, sebuah esei, sebuah drama yang sampai sekarang belum
pernah selesai, 32” jelas Putu sambil merenung akan tingkah laku saya yang
asing baginya.

Saya terjaga. Terjaga dari mimpi yang cukup panjang, merentasi alam tidur
yang tanpa sempadan itu. Saya bangkit dan mengucap panjang. Saya bermimpi,
rupanya.

Waktu sahur telah tiba. Setelah selesai bersahur bersama keluarga, saya
bercerita kepada anak-anak akan mimpi dialami. Selesai solat Subuh, saya
memberi selawat kepada Nabi Muhamad. Membaca Surah Al-Fatihah33 sebanyak 41
kali, diikuti oleh Surah Al-Baqarah34 sebanyak 41 kali bagi ayat 1 – 5”
bermaksud: Alif-Lam-Mim. Inilah Kitab (Al-Quran) yang tiada keraguan
dalamnya, suatu petunjuk bagi mereka yang takwa (kepada Tuhan). (Iaitu
mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan
menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kepadanya kami berikan, Mereka yang
beriman kepada (wahyu) yang kepadamu diturunkan, dan yang sebelummu
diturunkan, dan mereka yakin akan akhirat. Merekalah yang mendapat bimbingan
dari Tuhannya, dan merekalah yang mendapat kejayaan…..

Pagi ini tahun baru telah tiba. Tanggal 1 Januari 1999. Pagi ini, saya juga
telah dilahirkan kembali dengan wawasan baru, sikap baru, hobi baru dan
tekad baru. Baru. Baru, Baru. Baru. Baru. Baru. Baru. Baru, Baru, Baru.
Baru. Baru, Baru. Baru. Baru. Baru. Baru. Baru, Baru, Baru. Baru. Baru,
Baru. Baru. Baru. Baru. Baru. Baru, Baru, Baru. Baru. Baru, Baru. Baru.
Baru. Baru. Baru. Baru, Baru, Baru. Baru. Baru, Baru. Baru. Baru. Baru.
Baru. Baru, Baru, Baru. Baru. Baru, Baru. Baru. Baru. Baru. Baru. Baru,
Baru, Baru. Dirasakan bahawa diri saya berkemampuan untuk mengenali diri
sendiri, sebenarnya, sebagaimana kata Socrates, kenalilah dirimu sebagai
Ismail Lutfi.

( Di akhir sejarah ini, tidak mungkin kita menang melawan diri sendiri.
Kosong Selat Melayu sarap zaman menunggu surutnya tanah di air mengeruh
sungai. Pergaduhan, mimpi dan kebanggaan di bawa banjir waktu. )35


SELESAI.

1 Januari 1999
Sanggar Cempaka,
Kuantan.


NOTA KAKI:

1. Umar Junus “Unsur Tidak Cerita dan Cerita” dalam ‘Dongeng Tentang Cerita’
DBP Kuala Lumpur 1993, hal. 223.
2. Sydney Newton Bremer “Januari 1” dalam ‘366 Self-Motivating Essays for
Students and Adults (Terjemahan), Thinker Library Kuala Lumpur 1996, hal.5.
3. Ibid, hal.5.
4. Ibid, hal.5.
5. Putu Wijaya “Sekedarnya Tentang Putu Wijaya – Goenawan Mohamad” dalam
‘Blok’ Pustaka Firdaus, Jakarta 1994, hal. Xi.
6. A.Samad Said, ‘Salina’ DBP Kuala Lumpur 1980, hal. 1 – 387.
7. A.Samad Said, ‘Langit Petang’ DBP Kuala Lumpur 1980, hal. 1 – 143.
8. A.Samad Said, ‘Daerah Zeni’ Fajar Bakti Petaling Jaya 1985, hal. 1 – 179.
9. A.Samad Said, ‘Hujan Pagi’ DBP Kuala Lumpur 1987, hal. 1 – 418.
10. A.Samad Said, ‘Cinta Fansuri’ Fajar Bakti Kuala Lumpur 1994, hal. 3 –
156.
11. A.Samad Said, ‘Bulan Tak Bermadu Di Fathehpur Sikri’ Marwilis Publisher
& Distributor Shah Alam 1992, hal. 1 – 110.
12. Ahmad Kamal Abdullah (Editor), ‘Jambak 1’ DBP Kuala Lumpur 1993, hal.15.
13. Ibid, hal.15.
14. Ibid, hal.15.
15. Ibid, hal.15
16. Putu Wijaya,’Blok’ Pustaka Firdaus, Jakarta 1994, hal. 1 – 519.
17. Putu Wijaya, ‘Protes’ Pustaka Utama Grafiti, Jakarta 1994, hal. 1 – 314.
18. Putu Wijaya, ‘Perang’ Pustaka Utama Grafiti, Jakarta 1990, hal. 3 – 384.
19. Putu Wijaya, ‘POL’ Pustaka Utama Grafiti, Jakarta 1987, hal. 1 – 119.
20. Putu Wijaya, ‘CasCus’ Gaya Favorit Press Jakarta 1990, hal. 7 – 142.
21. Putu Wijaya, ‘Teror’ Dunia Pustaka Jaya, Jakarta 1991, hal. 5 – 147.
22. Putu Wijaya, ‘LHO’ Balai Pustaka, Jakarta 1987, hal. 7 – 163.
23. Putu Wijaya, ‘Gres’ Balai Pustaka, Jakarta 1982, hal. 11 – 139.
24. Putu Wijaya, ‘Sobat’ Sinar Harapan, Jakarta 1981, hal. 1 – 114.
25. Putu Wijaya, ‘Telegram’ Pustaka Antara Kuala Lumpur 1979, hal. 1 – 103.
26. Putu Wijaya, ‘Stasiun’ Dunia Pustaka Jaya, Jakarta 1977, hal. 5 – 103.
27. Putu Wijaya, “Sekedar Tentang Putu Wijaya – Goenawan Mohamad” dalam
‘Blok’ Pustaka Firdaus Jakarta 1994, hal. XV.
28. Ibid, hal. XV.
29. Pamusuk Eneste (Editor), ‘Proses Kreatif’, Gramedia, Jakarta 1983, hal.
167.
30. Ibid, hal. 167 – 168.
31. Ibid, hal. 168.
32. Ibid, hal. 168.
33. Kitab Al-Quran.
34. Kitab Al-Quran.
35. Muhamad Haji Salleh, ‘Sajak-Sajak Sejarah Melayu’ DBP Kuala Lumpur 1981,
hal. 88.






LIDAH
karya: arisel ba

Tapi benarlah kata orang-orang berfikir zaman bahari: lidahnya telah
didewasakan dengan pelbagai bahasa, pelbagai pengecapan nikmat, dan pelbagai
pahit manis kehidupan kemanusiaan. Dan lidahnya juga digunakan untuk
membujuk atau mematikan hujjah dalam setiapkali perbincangan atau perdebatan
poltik. Semakin lama hari-harinya dilalui sebagai orang politik, semakin
banyak kesilapan dilakukan. Ada juga kebaikan, tetapi kebaikan yang
dilakukan semacam ada udang disebaik batu. Dengan mempergunakan nepotisme
kuasanya dia adalah beraja di lidah, beraja di mata, beraja di hati.

Baik secara sengaja mahupun secara tidak sengaja. Bidang politik adalah
gelanggang yang serba mungkin. Dia sudah biasa dengan riak dan gelombang
politik. Dia sudah merasai denyut rasa penderitaan seorang pemimpin.
Semasa dia melonjak naik, pengikutnya ramai. Ada yang menawar diri menjadi
panglima.
Ada yang rela menjadi hulubalang. Ada yang sesuka hati mereka menjadi
juak-juak, tukang kempen, tukang pidato, tukang puji-puja, tukang
bodek-ampu, tukang itu, tukang ini. Masing-masing dengan peranannya.
Masing-masing dengan gelagatnya.

Mereka adalah mesin politik yang berwibawa dan dia amat berpuashati. Tapi
kini sudah masuk sebulan dia bersara sebagai pemimpin. Dia telah bersara
sebagai pemidato yang hebat dan menggerunkan kawan dan lawan. Tapi Dia
masih orang politik. Masih segar wawasan politiknya. Masih hebat
pendekatan pemikiran mindanya. Malangnya dia hanya keseorangan kini.
Malangnya dia tidak lagi dikelilingi panglima, hulubalang, juak-juak, tukang
kempen, tukang pidato, tukang puji-puja, tukang bodek-ampu, tukang itu,
tukang ini. Apa yang ada hanyalah tukang masak, tukang cuci, tukang leter,
tukang picit, itulah isterinya, Sang Rupawan.

Kini isterinyalah menjadi panglima, menjadi hulubalang, menjadi juak-juak,
menjadi tukang kempen, menjadi tukang pidato, menjadi tukang puji-puja,
tukang bodek-ampu. Dan menjadi apa saja demi survival politiknya kini. Dulu
dia dihormati, kini dia adalah manusia biasa yang tanpa digeluti protokol
dan tanpa disaduri prosidur birokrasi.

Dia merenung dinding kamarnya. Dan dinding kamar itu merenung dirinya. Lalu
mereka renung, merenung. Dia dapat membayangi huruf-huruf dalam kesamaran...

Dari dinding kamar itu muncul pula lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh
neneknya semasa dia kecil Tiba-tiba dia tersentak dengan tembang-tembang
yang dinyanyikan oleh neneknya itu. Dan dia sudah berada jauh dari alam
realiti.Dia sudah memasuki dimensi halunisasi minda yang ruangnya tanpa
sempadan, tanpa sekatan.

Dia bangkit dari kerusinya dan meraba-raba wajahnya. Dirabanya rambutnya.
Rambutnya sudah lenyap. Kepalanya botak. Bergerutu sebesar biji kacang
tanah. Diraba telinganya. Telinganya menjadi cagang, seperti telinga musang.
Diraba hidungnya. Hidungnya sudah berubah seperti hidung anjing. Diraba
matanya, matanya besar seperti mata burung hantu. Dan dirasakan lidahnya
bergulung-gulung dalam mulutnya. Dia cuba menjelirkan lidahnya, lidahnya
secepatnya menjadi panjang seperti lidah cicak, kemudian cepat-cepat dia
mengulum kembali lidahnya. Dia mula terkejut. Dia berpeluh ngeri dengan
perubahan-perubahan fizik yang dialaminya itu. Dia bukan lagi manusia biasa.
Dia sudah tumbuh sebagai manusia luar biasa. Dia bimbang perubahan itu akan
kekal pada dirinya. Dia khuatir dengan perubahan itu memaksanya berkurung
di grahanya saja. Dia takut pada dirinya sendiri. Dia gerun pada pemikiran
mindanya. Dia.... Dia... Dia...

Suatu hari di kamar kerjanya dia mencuba-cuba lidahnya. Lidahnya yang selama
15 tahun digunakan bukan saja untuk berdialog dengan Orang-Orang Kecil
mengenai pembangunan manusia dan kemanusiaan. Lidah itu juga digunakan
olehnya untuk berjanji dengan Orang-Orang Kecil bukan saja janji politik,
malah janji projek, janji budaya, janji kemanusiaan, janji nafsu dan janji
nol. Dia mencuba-cuba lidahnya. Dia menjelirkan lidahnya. Terasa lidahnya
terjulur lima sentimeter dari bibirnya. Dia jelir lagi lidahnya, terasa
lidah itu hidup dan secepat kilat menggapai buku-buku, surat-surat dan
fail-fail di atas mejanya. Dia terkejut besar. Dia segera mengulum kembali
lidahnya yang boleh dijelirkan panjang seperti lidah cicak itu. Tumbuh rasa
malu daripada dalam hatinya. Tumbuh rasa ngeri daripada dalam mindanya.
Tiba-tiba ada bisikan kecil dari telinganya yang
sebelah kiri.

" Wahai sahabat, kau sekarang sudah ada kehebatan tersendiri. Kau sudah
menjadi manusia supernaturalis. Kau boleh saja gunakan lidah istimewa itu
untuk apa saja. Bukan saja untuk mengucapkan kata-kata. Bukan saja untuk
merasa manis pahit makanan yang kau kecap. Bukan saja untuk menumbuhkan rasa
berahi. Malah kau boleh gunakan lidah istimewa ini untuk mengecap kelembutan
pipi wanita, bibir wanita, tangan wanita, kaki wanita, atau....", kemudian
bisikan itu lesap dari pendengaran telinganya.

" Cis!. Cis!. Jijik!. Jijik!. Lidahku adalah lidah sakti yang perlu dijaga.
Lidah sakti yang akan digunakan dalam agenda-agenda tertentu saja, " Dia
merungut dan beringas. Kamar kerjanya diketuk dari luar. Masuk seseorang.
Seorang wanita. Kulitnya hitam manis. Rambutnya dirapikan gaya Lady Diana.
Bibirnya dimerahi dengan gincu refleksi cahaya. Berbaju kebaya berbunga
warna biru cerah dan berkain sutera biru bertingkat dan kasut tumit tinggi
berwarna biru. Dia rasa tergamam semasa mempelawa wanita itu duduk di sofa
jenis mewah. Mindanya mula meneka-neka perwatakan wanita yang ada didepannya
ini. Cara wanita itu senyum, cara berdialog, cara duduk cuba dihurai dalam
beberapa saat bagi memudahkan dia berkomunikasi dengan lancar dan bebas. Dia
segera menebak jenis apa wanita yang ada di depannya sekarang. Mindanya
segera bekerja dan memberi analisa....mudah patah semangat jika ada
cabaran... mudah berpuashati dengan apa yang diperolehi meskipun nilainya
relatif kecil...memerlukan rasa damai tenteram pada setiap ketika... tidak
terlalu mahu memeras keringat untuk mencari kebahagiaan hidup... dalam
bercinta selalu rendah diri dan takut kepada kegagalan.. sukar tertarik
kepada keindahan...

Dia menghulurkan tangan, bersalaman dan mempersilakan wanita itu duduk. Dan
wanita itu pun duduk, sambil senyumannya menggegar emosinya dan darah
tuanya meriap, menggetar ke seluruh urat tubuh. Jelita sungguh wanita ini,
mindanya mengulas.

" Ada yang saya boleh tolong puan!", Dia menyoalnya sebagaimana soalan yang
selalu dilontarkan kepada sesiapa tetamu yang masuk ke kamar kerjanya, yang
ada urusan formal politik atau birokrasi atau urusan bussines.

" Nama saya Balqis. Ratu Balqis dari Dinasti Saba." Tiba-tiba bergumam suara
lemak merdu wanita itu memberitahunya selancarnya, tanpa segan silu.
Senyumnya menguntum dan mendap dalam hatinya.

" Saya, Tokoh Terpilih." Dia perkenalkan dirinya kepada wanita itu." Saya
sudah kenal nama puan dalam Surat Al-Ambiya, tetapi sekarang berpeluang
menghampiri orangnya secara dekat," sambungnya. " Soalnya, ada apa-apa yang
saya boleh tolong Ratu Balqis," katanya sambil melihat dengan mata
metafizika bahawa wanita itu sedang mencari dan bukan sedang mendapatkan
sesuatu keinginannya.

" Maaf, hadir saya ini mungkin mengganggu", Ratu Balqis mulai " katanya
sambil melihat dengan mata metafizika bahawa wanita itu sedang mencari dan
bukan sedang mendapatkan sesuatu keinginannya.

" Maaf, hadir saya ini mungkin mengganggu", Ratu Balqis mulai merendah diri
dan masih murah dengan senyumannya yang sedang menguntum itu.

" Ahha!, tidak!, tidak!. Kehadiran puan sama sebagaimana kehadiran
tetamu-tetamu saya yang lain. Tetap saya layani dengan saksama dan penuh
kemanusiaan dan kebahagiaan. Saya perlu menjadikan setiap orang yang menjadi
tetamu saya itu bila saja keluar dari kamar kerja saya ini, dia akan merasa
bahagia, merasa puas dan akan mengunjungi saya lagi, di lain waktu",
tukasnya. Lidahnya yang istimewa itu mula meronta-ronta di dalam mulutnya
mahu menjelir dan menjilat tubuh wanita itu. Dia mengetap bibir dan menelan
air liornya sendiri. Entah bagaimanamana tanpa dapat dikawal oleh
nalurinya, dia cuba menjilat pipi Ratu Balqis. Ratu Balqis mengelak dan
lidah yang panjang itu melekap di bahu Ratu Balqis. Dia tersenyum tapi Ratu
Balqis segera bertindak. Ratu Balqis mengeluarkan gunting yang ditempa dari
neraka lalu memotong lidah Tokoh Terpilih. Darah merah berpancutan dan
sebahagian lidah yang dipotong itu bergelindingan di lantai.
" Aduhhh!..... Aduhhhh!...... Lidah!..... Lidah!..... Aduhhh, sakitnya
lidahku," dia menjerit terlolong sekuatnya hingga membuatkan isterinya
mennerpa ke dalam kamar kerjanya.

" Apa dia! Mana dia! Apa dia! Mana dia!, " Dia mencari sesuatu.

" Apa yang terjadi?. Apa yang berlaku?. Ada hantu! Ada toyol! Ada polong",
Sang Rupawan bertanya keheranan.

Dia merasa lidahnya. Lidahnya masih seperti sediakala. Dijelirnya
berkali-kali, lidahnya hanya terjulur lima sentimeter. Dia menyedut nafasnya
dengan lega. Tiba-tiba dia terdengar suara wanita membaca Al-Quran,
sayup-sayup. Diamati dengan penuh kepekaan surah apa yang sedang dibacakan
itu. Surah Saba' ayat 14, 23, 24, 25, 26, 46, 47, 48, dan 49. Kemudian suara
itu lenyap.

Dia melihat kalendar di kamarnya. Hari yang ketiga puluh dia bersara dari
gelanggang politik dirasai cukup menyiksakan. Kemudian dia melangkah keluar
diikuti oleh isterinya menghala ke perkarangan grahanya yang gagah tersergam
itu sambil hatinya berkata: Ini sebenarnya bukan graha milikku...


SELESAI

7 Julai 1991

Kuantan



This page is powered by Blogger. Isn't yours?