<$BlogRSDUrl$>

Wednesday, June 30, 2004

TOK GAJAH *) 

TOK GAJAH *)
Cerpen Oleh: Arisel Ba


Lembah Tembeling kembali sepi dari bunyi tembakan meriam dan pemuras. Pagi itu di Jeram Ampai, air Sungai Tembeling semakin surut dan cuaca panas amat. Kilatan ikan-ikan di dasar sungai menjadi indah, ceria dan aman.

Demi keamanan alur Sungai Tembeling, Tok Gajah telah mendapat mandat untuk mengawal alur sungai itu dari tercemar dan segala ikan di dalam alur dan unggas di tebing sepanjang alur sungai itu hidup aman. Lalu dia pun memerintahkan anak buahnya untuk mengamankan alur Sungai Tembeling itu. Setiap dua orang anak buahnya diperintah menyediakan rakit buluh yang diikat dengan empat batang buluh, lengkap dengan galah panjang dan pendayung dari batang nibung.

"Ini adalah tugas mulia kamu semua. Mengawal alur Sungai Tembeling adalah wujud semangat patriotik ketuanan dan kebangsawanan Orang Pahang sebagai
seorang pahlawan kepada Yang DiPertuan Paduka Wan Ahmad. Meskipun kita tidak boleh memilih atau ingkar, kita tetap bersumpah dengan cara kita. Laksanakanlah tugas kamu semua." Demikian perintah Tok Gajah kepada anak buahnya dalam kesempatan perbarisan pahlawan di suatu pagi.

Tentu saja seluruh anak buahnya menjawab dengan serentak. "Siaaaap!! Kami semua siap sedia, demi Yang DiPertuan Paduka."

Sulit untuk dibayangkan ada seorang pahlawan mengacungkan tangan membantah terhadap perintah atasannya. Itu akan kelihatan sangat lucu. Ada yang ketawa terbahak-bahak dan selepas Tok Gajah mengherdik dan menengking, mereka sekadar ketawa dalam hati masing-masing.

Terlihat lebih lucu lagi, bila dalam pelaksanaan tugasnya itu, kesiapan pahlawan itu hanya berhenti di mulut saja. Ketika tiba saat hari pengawalan alur Sungai Tembeling, apalagi di perlembahan Hulu Pahang yang sangat terpencil itu, siapa boleh mengawal mereka? Boleh sangat mungkin terjadi, rakit-rakit yang menyesakkan dari tebing seberang sini ke tebing seberang sana yang jumlahnya hampir 200 buah itu akan bergerak, separuh rakit akan mudik ke hulu menongkah arus dan separuh lagi akan menghilir alur Sungai Tembeling. Apapun yang terjadi, demi keamanan dan maruah Yang DiPertuan Paduka, hanya mereka yang mendapat ijazah pahlawan yang boleh mengendalikan rakit-rakit itu hingga sampai di tempat-tempat yang diperintahkan. Selama perjalanan itu, hanya dua pahlawan yang mengendalikan rakit tanpa ada giliran. Sebab, sekali lagi demi keamanan dan maruah Yang DiPertuan Paduka..

Dengan penuh rasa yakin amat, Tok Gajah melaporkan semua tugasnya kepada atasannya, Yang DiPertuan Paduka yang bersemayam di Jong Belabuh. Semuanya beres.

"Rakit-rakit khabarnya sudah sampai di tempat persembunyian Bahaman dan Mat Kelubi di Batu Balik, berhampiran dengan Kuala Tembeling dan sebahagian rakit-rakit yang mudik hingga ke Jong Belabuh telah tiba di tempat persembunyian Yang DiPertuan Paduka. Hamba dan Mat Kilau bersingkar serakit menongkah alur Sungai Tembeling. Kami telah melaksanakan tugas dengan sempurna, “ lapor Tok Gajah.

Dan Yang DiPertuan Paduka pun dengan bangga akan menjawab puas, "Terimakasih Tok Gajah. Tugas kamu bersama anak buah telah selesai. Marilah kita berkumpul dan menyambung semula latihan persilatan dan bermain senjata yang kita miliki.”

Tok Gajah pada hari ketujuh telah mendapat khabar yang pasukan diketuai Bahaman dan Mat Kelubi telah diserang di Batu Balik. Mereka dikejar oleh tentera British hingga ke Jeram Ampai. Ramai pahlawan gugur dan mati ditembak oleh tentera British keturunan Benggali. Rakit-rakit banyak yang ditawan oleh tentera British dan dibakar. Hanya tidak sampai 20 rakit sahaja berjaya menongkah arus alur Sungai Tembeling mudik sehingga ke kubu di Jong Berlabuh dengan selamat, berkat kesigapan para pahlawan yang bersingkar melarikan diri ke hulu.

Pada malam itu dengan bercahayakan bulan di atas hamparan pasir Yang DiPertuan Paduka bermesyuarat dengan Tok Gajah, Bahaman, Mat Kilau dan Mat Kelubi yang cedera di bahunya terkena peluru pamuras tentera British ketika mahu menyelamatkan Bahaman. Mereka mengatur untuk berangkat malam itu juga meredah malam mudik ke hulu. Mereka tidak boleh menunggu lebih lama lagi untuk bertahan dari serangan tentera British.

Dan di Jeram Ampai tentera-tentera British yang dipimpin oleh Hugh Clifford bersuka ria menyambut kemenangan mereka. Terjadi pesta meriah amat. Mereka sedang mabuk-mabuk bersukaria dilayani oleh wanita-wanita yang ditawan dari kawalan Pasukan Bahaman dan Mat Kilau..

Tok Gajah berdiri tegak gagah dan sempurna, memimpin perbarisan pahlawan pada pagi itu di kaki Gunung Mandi Angin. Di depan Yang DiPertuan Paduka Wan Ahmad, para pahlawan itu memberikan hormat dan meneriakkan mantera dan zikir kebal diri. Dan dengan rasa sayu amat gerombolan itu melangkah kaki menaiki rakit-rakit yang masih tinggal menongkah arus alur Tembeling melewati Jeram Perahu untuk meninggal bumi Pahang menuju ke Pasir Raja di Terengganu, sebelum tentera British pimpinan Hugh Clifford sampai ke tapak kubu persembunyian mereka.

15 Jun 2004
Lembah Tembeling

*) Cerita ini sekadar sebuah fiksi. Bila ada percanggahan atau persamaan dengan fakta sejarah, itu hanyalah kebetulan belaka.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?